Imbas Kenangan Kelahiran Hadif 25042011

Pagi 25 April 2011, seperti biasa umi bangun menunaikan solat subuh. Tapi perut umi terasa memulas-mulas dan berulang beberapa kali ke bilik air. Jam 7.00 pagi, umi terima panggilan daripada abi dan mengadu yang abi terasa malas nak pergi kerja pada hari ini. Belum sempat bersarapan, seisi rumah dikejutkan dengan jeritan umi kerana turun darah. Sebelum bertolak ke hospital, umi sempat telefon abi dan bersiap-siap apa yang patut. Patut la abi terasa malas nak pergi kerja, rupanya hari ni abi terpaksa balik kampung segera sebab umi nak bersalin. Dalam perjalanan ke hospital, umi sempat menjamah sedikit bihun goreng tok dan juga beberapa biji kurma untuk bekalan tenaga.

Tepat 8.15 pagi, umi sampai di Dewan Bersalin Muslimah, Permatang Pauh dan terus diminta masuk ke bilik bersalin. Umi diberikan ubat untuk buang air besar dan diperiksa bukaan rahim telah terbuka 3 cm. Selepas itu, umi diminta untuk berehat di bilik yang disediakan. Sakit yang umi rasa mulai kerap dan umi tak putus-putus berzikir dan beristighfar sementara menunggu bukaan rahim sehingga 10 cm. Masa yang berlalu terasa sangat lambat dan umi sangat bernasib baik kerana ada mak yang setia menemani memberi semangat.

Umi diminta ke bilik bersalin pada jam 11.00 pagi. Pada waktu itu, bukaan rahim telah terbuka lebih kurang 8 cm dan air ketuban telah dipecahkan. Doktor meminta umi bersabar sehingga bukaan 10 cm.  Alhamdulillah tepat 12.33 tengahari, umi selamat melahirkan Hadif. Umi lihat badan Hadif hijau sangat sebab Hadif dah buang air besar sebelum keluar. Doktor kata Hadif bernasib baik sebab keluar agak cepat kerana ditakuti Hadif termakan najis sendiri. Berat Hadif pada waktu lahir ialah 3.2 kg dengan panjang badan 48 cm.

Selepas dibersihkan, Hadif dibawa keluar dan ditempatkan di bilik bayi bersama bayi-bayi yang lain. Umi pula masih di bilik bersalin kerana umi mengalami masalah uri tersangkut. Doktor telah melakukan kaedah MRP (manual removal of placenta) untuk mengeluarkan serpihan uri yang tersangkut itu. Ya Allah, masa tu umi berdoa moga proses tersebut cepat selesai kerana terlalu sakit. Kaki umi tak henti-henti mengigil untuk menahan lagi.

Lebih kurang pada pukul 2.00 petang, umi dibawa keluar dan berehat di bilik sendiri. Barulah umi dapat berjumpa dengan abi. Nampaknya abi tak sempat bersama umi semasa bersalin sebab abi sampai di hospital pada jam 1.20 petang. Masa ni, air mata umi tak henti-henti mengalir tatkala bersalaman dengan abi, mak dan abah umi. Pelbagai perasaan yang umi rasa. Buat abi, satu perkataan pun tak dapat diluahkan untuk menceritakan detik-detik bersalin tanpa abi di sisi dan bisikan terima kasih daripada abi membuatkan umi terasa sayu. Buat mak, terima kasih kerana melahirkan umi dan begini besar rupanya pengorbanan mak.


                                   Muhammad Hadif 'Imran...Satu Amanah...Satu Anugerah

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman Bersalin Anak ke-6

Kelahiran anak ke-5

Apa itu Allergic Rhinitis?