Berjauhan...
Perhubungan Jarak Jauh (PJJ) adalah sangat sinonim denganku sejak berumahtangga. Di awal perkahwinan, aku dan suami terpaksa tinggal berjauhan atas faktor kerjaya. Pada waktu itu, aku bertugas di Skudai, Johor, manakala suami pula bertugas di Kuantan, Pahang. Hampir dua tahun kami berjauhan sebelum suami dapat kerja di Pasir Gudang. Itu pun setelah anak sulung kami (Hadif) berusia setahun. PJJ ini banyak memberikan pengalaman berharga buatku dari sisi positif dan negatif. Pengalaman mengandung tanpa suami di sisi begitu mencabar emosi dan perasaanku. Tetapi, pengalaman itulah membuatku berdikari dan kuat melalui dugaan lain. Ya..Dia pasti tahu hikmah di sebalik kehidupan yang telah diaturkan buat hambaNya. Dia yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang pasti tidak akan memberikan ujian yang di luar kemampuan hambaNya. "Ujian itu tanda kasih sayangNya".
Setelah enam bulan tinggal sebumbung, kami mendapat khabar gembira apabila aku disahkan mengandung anak kedua. Alhamdulillah, mengandung kali ini ditemani suami. Aku dilayan bagaikan permaisuri. Segala sakit peningku ada yang amik peduli. Jadi tidak hairan la, permata kedua kami (Hasif) agak manja. Dua tahun kami tinggal bersama, akhirnya suami mengambil keputusan untuk berhijrah ke Abu Dhabi demi mencari rezeki dan pengalaman.Sebulan juga aku berendam airmata untuk akur dengan keputusan itu. Hati berbelah bahagi untuk berjauhan dengan keluarga dan sanak saudara di sini. Apatah lagi perlu bersendirian menjaga anak-anak sebelum kami sekeluarga boleh ke sana. Jika itu ketetapan dan rezeki dariNya, aku akur dengan keputusan suami. Berjauhan kali ini, lebih besar dugaannya berbanding sebelum ini. Apabila aku disahkan mengandung anak ketiga. Ya..kali ini Dia menguji kebergantunganku kepadaNya. Mungkin sebelum ini, aku banyak bergantung kepada suami. "Cukuplah Allah buatku, Dialah sebaik-baik sandaran".
Terima kasih abang kerana acap kali mengingatkan ayang tentang kisah Nabi Ibrahim dan Siti Hajar sebelum abang berangkat pergi. Nabi Ibrahim terpaksa meninggalkan Siti Hajar sendirian di padang pasir yang tandus bersama anaknya, Ismail yang masih kecil. Nabi Ibrahim berkata, "Aku tinggalkan kau kerana Allah". Siti Hajar sangat kuat dan dia menjawab, " Kalau begitu, Allah takkan mensia-siakan kami. Engkau berangkatlah, jangan kau fikirkan kami. Allah akan menjaga kami dan Dia takkan mensia-siakan kami". Siti Hajar adalah lambang seorang isteri contoh yang taat pada suami dan Allah. Dia bersemangat kental dan kebergantungannya kepada Allah boleh dijadikan tauladan. Walaupun diri ini tidak sekuat Siti Hajar, tapi ceritanya membuat aku kuat menghadapi ujian ini. "Semoga perjalanan abang sentiasa dilindungi dan dilimpahi rezeki yang halal dariNya".
setiap dugaan yang diberi oleh Allah tu menandakan sayangnya Allah pada kita... hadapilah dengan tenang dan sentiasa tawakal pada Allah... in sha Allah sesuatu yang manis akan menunggu di hadapan kita... moga Allah melindungimu dan anak-anak...
ReplyDelete